Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger


Wednesday, May 06, 2009

PengHiJraHaN SiTe.......

Assalamualaikum wbrt...

selamat sejahtera buat semua pengunjung blog...
untuk makluman kami telah pun berhijrah ke laman baru..

www.Islamic4U.blogspot.com



selamat melayari internet dan laman2 blogger...
wassalam...

Sunday, April 12, 2009

Halangan dan rintangan dalam perjuangan




Gerakan Islam kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai rintangan dan halangan yang perit di dalam perjuangannya. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada umat Islam di Algeria, Tunisia,Mesir, Palestin dan di merata tempat di pelusuk dunia ini umat Islam ditekan hebat oleh mush-musuh Islam yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar dunia dankuncu-kuncunya. Ini merupakan suatu sunnah dan kita sebagai pejuang Isalm perlulah melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal melanda umat di rantau ini.

SEPINTAS LALU TRIBULASI UMAT TERDAHULU

Secara ringkas dipaparkan di sini tribulasi umat terdahulu dalam perjuangan mereka sebagai renungan kepada kita bersama.

Di antara contoh-contoh tersebut ialah:

a) Nabi Ibrahim a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. tidak lain dan tidak bukan merupakan rentetan pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan.

Kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim bangun menentang dan melawan cara hidup jahiliyah tanpa mengira sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Maka berlakulah tentangan dan tekanan hebat daripada kaumnya sedangkan Nabi Ibrahim tanpa memiliki apa-apa kekuatan senjata dan kekuatan penyokong. kita lihat di sini bagaimana keimanan kuat Nabi Ibrahim memperjuangkan kebenaran, baginda dipulaukan oleh kaum keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri. Namun itu semua sedikit pun tidak mengubah pendiriannya dan memperjuangkan kebenaran. Tekanan ke atas Nabi Ibrahim a.s. semakin hebat sehingga baginda dicampakkan ke dalam api yang marak menyala supaya mati terbakar hidup-hidup. Baginda redha terhadap ujian Allah demi kesetiaan perjuangannya.

Akhirnya Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk sepertimana yang digambarkan melalui firmanNya yang maksudnya: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.” Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadika mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” (Al-Anbiya’: 69 – 70)

Tentangan dan halangan yang dialami oleh Nabi Ibrahim berterusan melambangkan keutuhan dan kemantapan perjuangannya yang tidak kenal undur sehingga akhirnya Allah menjadikannya sebagai salah seorang rasulNya yang terpilih (ulu al-‘azmi.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak telahpun dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).” (Al-Baqarah: 130)

b) Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapi dan diharungi oleh Nabi Musa a.s. bermula sejak bayinya lagi. Sebagaimana yang kita tahu, sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. dihiasi dengan suasana yang menyayatkan. Ibunya terpaksa menyelamatkan baginda dari kekejaman Firaun dengan menghanyutkan baginda ke sungai. Seterusnya ujian demi ujian berterusan dan semakin besar seiring dengan membesarnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. tidak putus as dan tabah dalam memimpin satu bangsa manusia yang telah biasa tunduk dan memberi ketaatan total kepada raja mereka Firaun.

Baginda bukan sahaja berhadapan dengan rajanya yang zalim tetapi juga pembesar-pembesarnya yang tidak berperikemanusiaan dan suka menindas yang lemah. Dalam suasana beginilah Nabi Musa a.s. diperintah supaya menyeru Firaun yang berada di puncak kezaliman supaya tunduk dan patuh menyembah Allah. Sikap sombong dan angkuh Firaun telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.

Di antaranya Allah menggambarkan keangkuhan dan kezaliman Firaun yang tiada tolok bandingnya dengan firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)

Begitu kejamnya Firaun sehingga terkadang Nabi Musa a.s. sendiri merasa gerun dan gementar menghadapi tribulasi perjuangan dalam menentang Firaun. Lebih-lebih lagi apabila perjuangan Firaun itu sendiri disokong oleh tukang-tukang sihir yang terkenal dan zalim.

Hal ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.” (At-Taha: 67 – 69)

c) Nabi Isa a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Isa a.s. sungguh hebat. Hebat atau tidaknya halangan-halangan yang dihadapi oleh baginda dapat kita lihat daripada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Bagaimana Allah mengurniakan kepadanya mukjizat-mukjizat besar yang menghasilkan peristiwa-peristiwa yang luar biasa tetapi ini pun tidak memberikan kesan yang besar yang boleh diharapkan dari kaumnya. Namun begitu Nabi Isa tidak berputus asa dalam perjuangan malah tabah dan sabar menghadapi tribulasi perjuangan walaupun dimaki hamun oleh kaumnya ketika menyampaikan seruan dakwah.

Nasihat dan pesanan Nabi Isa a.s. kepada pengikutnya dapat menunjukkan kepada kita betapa tabah dan cekalnya baginda dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Sebagai contoh, baginda pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya: “Berbahagialah kamu jika mereka memaki hamun dan mengusir kamu dan mengatakan kepada kamu segala perkataan yang jahat lagi dusta keranaku…Bergembiralah kamu lantaran pahala kamu sangat besar di langit. Begitulah para nabi terdahulu juga pernah diusir dan dikeji lantaran perjuangan mereka… Kemuncak kepada tribulasi perjuangan Nabi Isa a.s. adalah usaha untuk membunuhnya. Namun, usaha tersebut gagal kerana datangnya pertolongan Allah menyelamat dan mengangkatnya ke langit.

Ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan : “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibn Maryam, Rasul Allah.” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Nisa’: 157 – 158)

d) Nabi Muhammad s.a.w. Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. juga tidak kurang hebatnya. Bermula dari perang saraf hinggalah cubaan-cubaan untuk membunuhnya. Kita juga lihat bagaimana baginda bersama-sama dengan para sahabat baginda turun ke medan perang, berjihad mempertahankan aqidah sanggup mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan harta benda semata-mata memperjuangkan ajaran yang suci ini.

1. Perang Saraf Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang Rasulullah s.a.w., kaum jahiliyah telah menggunakan segala taktik psikologi yang tidak ada langsung kesopanan.

Mereka menggunakan ejekan dan kejian serta mempersendakan Rasulullah s.a.w. supaya baginda akan patah semangat dan meninggalkan perjuangan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebgaimana yang engkau katakana (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad) : “Maha Suci Tuhanku! Bukanlah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (Al-Isra’: 90)

Bila kerja-kerja itu gagal dan tidak dapat mematahkan semangat Rasulullah s.a.w., mereka menyebarkan fitnah bahawa Rasulullah s.a.w. ini sudah gila, ahli sihir dan sebagainya. Tetapi itu semua menambahkan lagi semangat dan ketabahan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan di mana akhirnya selepas itu orang-orang Arab jahiliyah berusaha untuk membunuhnya tetapi Allah s.w.t. memberi perlindunganNya dari usaha tersebut.

2. Peperangan Halangan-halangan terhadap usaha dakwah Rasulullah s.a.w. berterusan sehingga menghendaki Rasulullah dan para sahabatnya menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan ‘survival’ ajaran Islam ini.

Dalam peperangan Uhud misalnya, bapa saudara Rasulullah s.a.w. turut terbunuh manakala Rasulullah sendiri luka-lika dan nyaris maut. Peperangan ini turut menyaksikan kesetiaan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w. di saat-saat yang sangat mencemaskan seperti Abu Talhah r.a. dan Ziad bin Sakan r.a. yang menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah s.a.w. dari terkena panah pihak musuh. Begitu juga dalam peperangan lain kita lihat betapa hebatnya pengorbanan untuk memastikan Islam ini dapat terus berkembang dan menewaskan penghalang-penghalang kepada perkembangannya.

3. Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam.

Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul berserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara pekerja-pekerja dakwah dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran dan dalam waktu yang sama melalui proses masa dapat menyediakan pekerja-pekerja dakwah ini tahan menghadapi ujian dan cabaran serta matang di dalam melakukan tindakan dan berfikir. Sebenarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pendakwah masa kini ialah soal ketahanan jiwa untuk menghadapi segala macam cabaran di dalam perjuangan.

Satu perkara yang mesti kita faham, bahawa segala idea atau kefahaman hanya akan tinggal sebagai slogan dan teori kosong selagi nilai dan kefahaman itu tidak dijelmakan ke dalam kehidupan seharian. Apa yang lebih menyulitkan para pendakwah masa kini ialah mereka sedang hidup di dalam suasana apa yang boleh kita sebut sebagai jahiliyah moden, di mana kehidupan masyarakat kini jauh menyimpang dari Islam itu sendiri yang mana material menjadi ukuran.

Masyarakat yang hidup dengan perkara-perkara terlarang dan merosakkan menjadi simbol kepada kemajuan dan tamadun sementara sikap wara’ dan kehidupan beragama dianggap sebagai ekstrim dan melampau malah di sesetengah negara mereka dilabelkan sebagai usuliyun mutatorrifun (puak pelampau).

Oleh sebab itu, sekiranya para pendakwah sendiri tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh salam mengerjakan ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari penyakit-penyakit jahiliyah moden yang sedang dan telah telah merebak ke dalam masyarakat Islam.
Bersambung...

Thursday, April 09, 2009

Sains politik Islam 2 : Siasah syar'iyyah dan perlaksanaannya pada masa kini


Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel.

Walaubagaimanapun, para ulamak meleraikkan syarat-syarat berikut:

1.Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dankerajaan Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya.

Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut

Maka dalam konteks kita sebagai sebuah Jama’ah Islamiyah yang setakat ini diamanahkan oleh Allah SWT untuk mentadbir 3 buah negeri Kelantan,Perak, Kedah dan 2 buah negeri iaitu selagor dan pulang pinang yang diperintah oleh pakatan rakyat, di samping DUN-DUN dan Parlimen yang kita kuasai, maka pada hemat penulis, kita sudah berupaya insya-Allah untuk mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan urusan dlam jama’ah, begitu juga urusan luar yang masih berada di dalam bidang kuasa kita.

2.Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).

3.Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat’ am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dailil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat/peraturan sementara spertimana masalah penetapan harga barangataupun sedari asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan

Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud:

Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulamak (imam) telah bersikap demikian.

Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan katanya…”Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak.

‘Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: “Siasah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu”.

Inilah siasah yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS sebagai organisasi Islam yang bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah kerajaan Islam di rantau ini.

Kita sesungguhnya memiliki tiga fakta utama dalam memenuhi keperluan siasah syar’iyyah iaitu:

1.Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru yang memerlukan jawapan yang tepat

2.Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri daripada ulamak dan professional yang pada penulis dapat di manfaatkan dalam melengkapkan lagi organisasi pengurusan dan pentadbiran jama’ah

3.PAS bukan lagi sebagai sebuah badan dakwah, malah dengan izin Allah SWT telah mengorak selangkah ke hadapan sebagai sebuah kerajaan walaupun di peringkat negeri

Sama-sama kita berdoa semoga Allah swt sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayahNya serta mengekalkan kerajaan PAS yang sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka di masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya, Amin.

Wednesday, April 08, 2009

Sains politik Islam : Siasah syar'iyyah dan perlaksanaannya pada masa kini

Oleh DR ABDUL AZIZ HANAFI

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah swt kepada pimpinan negara/negeri Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya.

Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w.

Kemudian diikuti pula di zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin r.a. ajma’in dan di zaman selepasnya.

Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.

Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi Al-siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulamak dan kumpulan professional seperti yang pernah dilakukan di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek tersebut begitu juga mengenai system pengairan yang baik dan teratur.

Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif, seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj.

Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah jama’ah Islamiyah yang dilihat sebagai sebuah jamaah yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulamak dan professional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.

Pembahagian Hukum Syarak

Sepanjang kajian kita dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘kulliyah’ iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat.

Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan aqidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga (pusaka), hudud dan qisas.

Kedua:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘juz’iyah’.

Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.

Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah sepertimana yang berlaku selepas kewafatan baginda saw khususnya di zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.

Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulamak dengan kata mereka:

“Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya”.

Sebagai contoh, sepertimana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya di zaman baginda Rasulullah saw, di zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).

Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.

Pengertian Siasah Syar’iyyah

Para ulamak mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah:

1. Takrif ‘Am

Siasah Syar’iyyah mengikut takrif ‘am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.

Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang samada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara.

Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah seperti Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.

Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.

2. Takrif Khas

Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan.

Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.

Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali.

Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syariyyah, para ulamak memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:

1.Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut

2.Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya.

Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut

3.Rasulullah saw pernah disoal mengenai unta dan kambing yang hilang di padang pasir. Baginda menyuruh agar sekiranya kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati tuannya dan diserahkan kepadanya semula. Adapun mengenai unta-unta yang hilang, baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah tuannya menjumpainya.

Hukum ini berkuatkuasa sehinggalah zaman Saidina Othman bin Affan r.a. Di zaman baginda keadaan dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir.

Kerana itu, baginda memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau. Kambing sebagai binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas tersebut sepertimana unta. Di zaman Saidina Ali r.a. pula, segala –perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.

4.Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.

5.Penulisan mushaf di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

6.Mengadakan jabatan-jabatan di zaman Saidina Umar r.a.

7.Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya disamping mengenakan cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut agama asal mereka

8.Keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj. Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu. Mulanya Umar r.a mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik. Akhirnya dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain turut terpesona dengan kekacakannya. Ini suatu fitnah yang besar terutama di kota suci Madinah.
Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau dikira terasing di tempat orang. Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih waspada terhadap dirinya.

Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah

Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah. Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum sepertimana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.

Oleh itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.

Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan kemanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.

Bersambung ....

Sunday, April 05, 2009

Rasulullah salallahualaihi wasallam telah bersabda ;
[ Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan; (hasad dan permusuhan itu) adalah pencukur, yang dimaksudkan pencukur ia mengikis agama bukannya mencukur rambut ] (Riwayat at Tirmidzi)
[ Tidaklah (dikira) beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sesuatu yang dia kasih untuk dirinya sendiri ] (Hadith Sahih Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W :
[ Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran, Mereka tidak akan sekali-kali mendapat mudharat kepada sesiapa yang melecehkan mereka, sehingga datang keputusan Allah (menang ataupun syahid) ].