Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger


Sunday, April 12, 2009

Halangan dan rintangan dalam perjuangan




Gerakan Islam kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai rintangan dan halangan yang perit di dalam perjuangannya. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada umat Islam di Algeria, Tunisia,Mesir, Palestin dan di merata tempat di pelusuk dunia ini umat Islam ditekan hebat oleh mush-musuh Islam yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar dunia dankuncu-kuncunya. Ini merupakan suatu sunnah dan kita sebagai pejuang Isalm perlulah melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal melanda umat di rantau ini.

SEPINTAS LALU TRIBULASI UMAT TERDAHULU

Secara ringkas dipaparkan di sini tribulasi umat terdahulu dalam perjuangan mereka sebagai renungan kepada kita bersama.

Di antara contoh-contoh tersebut ialah:

a) Nabi Ibrahim a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. tidak lain dan tidak bukan merupakan rentetan pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan.

Kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim bangun menentang dan melawan cara hidup jahiliyah tanpa mengira sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Maka berlakulah tentangan dan tekanan hebat daripada kaumnya sedangkan Nabi Ibrahim tanpa memiliki apa-apa kekuatan senjata dan kekuatan penyokong. kita lihat di sini bagaimana keimanan kuat Nabi Ibrahim memperjuangkan kebenaran, baginda dipulaukan oleh kaum keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri. Namun itu semua sedikit pun tidak mengubah pendiriannya dan memperjuangkan kebenaran. Tekanan ke atas Nabi Ibrahim a.s. semakin hebat sehingga baginda dicampakkan ke dalam api yang marak menyala supaya mati terbakar hidup-hidup. Baginda redha terhadap ujian Allah demi kesetiaan perjuangannya.

Akhirnya Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk sepertimana yang digambarkan melalui firmanNya yang maksudnya: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.” Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadika mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” (Al-Anbiya’: 69 – 70)

Tentangan dan halangan yang dialami oleh Nabi Ibrahim berterusan melambangkan keutuhan dan kemantapan perjuangannya yang tidak kenal undur sehingga akhirnya Allah menjadikannya sebagai salah seorang rasulNya yang terpilih (ulu al-‘azmi.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak telahpun dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).” (Al-Baqarah: 130)

b) Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapi dan diharungi oleh Nabi Musa a.s. bermula sejak bayinya lagi. Sebagaimana yang kita tahu, sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. dihiasi dengan suasana yang menyayatkan. Ibunya terpaksa menyelamatkan baginda dari kekejaman Firaun dengan menghanyutkan baginda ke sungai. Seterusnya ujian demi ujian berterusan dan semakin besar seiring dengan membesarnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. tidak putus as dan tabah dalam memimpin satu bangsa manusia yang telah biasa tunduk dan memberi ketaatan total kepada raja mereka Firaun.

Baginda bukan sahaja berhadapan dengan rajanya yang zalim tetapi juga pembesar-pembesarnya yang tidak berperikemanusiaan dan suka menindas yang lemah. Dalam suasana beginilah Nabi Musa a.s. diperintah supaya menyeru Firaun yang berada di puncak kezaliman supaya tunduk dan patuh menyembah Allah. Sikap sombong dan angkuh Firaun telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.

Di antaranya Allah menggambarkan keangkuhan dan kezaliman Firaun yang tiada tolok bandingnya dengan firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)

Begitu kejamnya Firaun sehingga terkadang Nabi Musa a.s. sendiri merasa gerun dan gementar menghadapi tribulasi perjuangan dalam menentang Firaun. Lebih-lebih lagi apabila perjuangan Firaun itu sendiri disokong oleh tukang-tukang sihir yang terkenal dan zalim.

Hal ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.” (At-Taha: 67 – 69)

c) Nabi Isa a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Isa a.s. sungguh hebat. Hebat atau tidaknya halangan-halangan yang dihadapi oleh baginda dapat kita lihat daripada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Bagaimana Allah mengurniakan kepadanya mukjizat-mukjizat besar yang menghasilkan peristiwa-peristiwa yang luar biasa tetapi ini pun tidak memberikan kesan yang besar yang boleh diharapkan dari kaumnya. Namun begitu Nabi Isa tidak berputus asa dalam perjuangan malah tabah dan sabar menghadapi tribulasi perjuangan walaupun dimaki hamun oleh kaumnya ketika menyampaikan seruan dakwah.

Nasihat dan pesanan Nabi Isa a.s. kepada pengikutnya dapat menunjukkan kepada kita betapa tabah dan cekalnya baginda dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Sebagai contoh, baginda pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya: “Berbahagialah kamu jika mereka memaki hamun dan mengusir kamu dan mengatakan kepada kamu segala perkataan yang jahat lagi dusta keranaku…Bergembiralah kamu lantaran pahala kamu sangat besar di langit. Begitulah para nabi terdahulu juga pernah diusir dan dikeji lantaran perjuangan mereka… Kemuncak kepada tribulasi perjuangan Nabi Isa a.s. adalah usaha untuk membunuhnya. Namun, usaha tersebut gagal kerana datangnya pertolongan Allah menyelamat dan mengangkatnya ke langit.

Ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan : “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibn Maryam, Rasul Allah.” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Nisa’: 157 – 158)

d) Nabi Muhammad s.a.w. Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. juga tidak kurang hebatnya. Bermula dari perang saraf hinggalah cubaan-cubaan untuk membunuhnya. Kita juga lihat bagaimana baginda bersama-sama dengan para sahabat baginda turun ke medan perang, berjihad mempertahankan aqidah sanggup mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan harta benda semata-mata memperjuangkan ajaran yang suci ini.

1. Perang Saraf Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang Rasulullah s.a.w., kaum jahiliyah telah menggunakan segala taktik psikologi yang tidak ada langsung kesopanan.

Mereka menggunakan ejekan dan kejian serta mempersendakan Rasulullah s.a.w. supaya baginda akan patah semangat dan meninggalkan perjuangan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebgaimana yang engkau katakana (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad) : “Maha Suci Tuhanku! Bukanlah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (Al-Isra’: 90)

Bila kerja-kerja itu gagal dan tidak dapat mematahkan semangat Rasulullah s.a.w., mereka menyebarkan fitnah bahawa Rasulullah s.a.w. ini sudah gila, ahli sihir dan sebagainya. Tetapi itu semua menambahkan lagi semangat dan ketabahan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan di mana akhirnya selepas itu orang-orang Arab jahiliyah berusaha untuk membunuhnya tetapi Allah s.w.t. memberi perlindunganNya dari usaha tersebut.

2. Peperangan Halangan-halangan terhadap usaha dakwah Rasulullah s.a.w. berterusan sehingga menghendaki Rasulullah dan para sahabatnya menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan ‘survival’ ajaran Islam ini.

Dalam peperangan Uhud misalnya, bapa saudara Rasulullah s.a.w. turut terbunuh manakala Rasulullah sendiri luka-lika dan nyaris maut. Peperangan ini turut menyaksikan kesetiaan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w. di saat-saat yang sangat mencemaskan seperti Abu Talhah r.a. dan Ziad bin Sakan r.a. yang menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah s.a.w. dari terkena panah pihak musuh. Begitu juga dalam peperangan lain kita lihat betapa hebatnya pengorbanan untuk memastikan Islam ini dapat terus berkembang dan menewaskan penghalang-penghalang kepada perkembangannya.

3. Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam.

Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul berserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara pekerja-pekerja dakwah dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran dan dalam waktu yang sama melalui proses masa dapat menyediakan pekerja-pekerja dakwah ini tahan menghadapi ujian dan cabaran serta matang di dalam melakukan tindakan dan berfikir. Sebenarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pendakwah masa kini ialah soal ketahanan jiwa untuk menghadapi segala macam cabaran di dalam perjuangan.

Satu perkara yang mesti kita faham, bahawa segala idea atau kefahaman hanya akan tinggal sebagai slogan dan teori kosong selagi nilai dan kefahaman itu tidak dijelmakan ke dalam kehidupan seharian. Apa yang lebih menyulitkan para pendakwah masa kini ialah mereka sedang hidup di dalam suasana apa yang boleh kita sebut sebagai jahiliyah moden, di mana kehidupan masyarakat kini jauh menyimpang dari Islam itu sendiri yang mana material menjadi ukuran.

Masyarakat yang hidup dengan perkara-perkara terlarang dan merosakkan menjadi simbol kepada kemajuan dan tamadun sementara sikap wara’ dan kehidupan beragama dianggap sebagai ekstrim dan melampau malah di sesetengah negara mereka dilabelkan sebagai usuliyun mutatorrifun (puak pelampau).

Oleh sebab itu, sekiranya para pendakwah sendiri tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh salam mengerjakan ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari penyakit-penyakit jahiliyah moden yang sedang dan telah telah merebak ke dalam masyarakat Islam.
Bersambung...

No comments: